Hari Sukan Negara UKM 2018
Hai, Assalamualaikum semua.
Hari ini kita akan membincangkan topik mengenai Hari Sukan Negara 2018 yang dianjurkan di UKM bagi daerah hulu langat. Hari Sukan Negara merupakan sambutan yang akan disambut setiap tahun pada hari Sabtu kedua dalam bulan Oktober. Sukan merupakan aktiviti yang baik untuk dilakukan kerana melibatkan pergerakan fizikal. Selain itu, aktiviti sukan turut mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Sukan juga merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat. Hari Sukan Negara akan disambut di seluruh Malaysia dan akan diadakan pada setiap sekolah serta institusi.
Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.
Antara objektif mengadakan hari sukan negara adalah untuk menerapkan budaya sukan dikalangan masyarakat, memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat, meningkatkan pengetahuan sukan dikalangan rakyat Malaysia, dapat mengiratkan hubungan silaturrahim antara kaum, serta mengiktiraf rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan di peringkat akar umbi.
Pada tahun ini 2018, Hari Sukan Negara telah jatuh pada tarikh 13 Oktober 2018 bersamaan dengan hari sabtu. UKM telah mengambil peluang dengan menganjurkan Hari Sukan Negara peringkat daerah Hulu Langat. Program ini dilakukan secara terbuka di mana bukan pelajar sahaja yang boleh menyertai malah orang luar juga boleh. Program ini diadakan di Mini Stadium (Pavilion) UKM bermula pada 7.30 pagi hingga 3 petang.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiuR7tuSwOmv-YlK9JY_RVX5MiZUBow32T2ssSeHie4mFxAFNrmwZ9xD1w7nRFcbnMmpClbwk90BXid5GGDxsuKNUFUgt16RO4PZLLU-itYz8FSf5ftLI_IF-IaovmQjR-7ccGiqdYcHeyc/s320/DpL-_IvU4AA147y.jpg)
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program tersebut. Antaranya ialah Fit 4 Life Aerobic yang dikenali sebagai Zumba, Klinik Fit Touch, 10 Ribu Langkah, Mari Mewarna yang disertai oleh kanak-kanak, Sukaneka serta Klinik Silat Seni. Begitu ramai yang menyertai aktiviti-aktiviti tersebut. Aktiviti zumba tetap dijalankan di padang walaupun padang basah waktu itu akibat daripada hujan yang berlaku pada malam sebelum program itu dijalankan. Sarapan turut disediakan untuk pengunjung-pengunjung yang hadir waktu itu. Aktiviti 10 ribu langkah dijalankan dengan penyertaan yang ramai oleh pelajar-pelajar citra sukan. Aktiviti mewarna pula disertai oleh beberapa kanak-kanak dan 10 terbaik akan dipilih sebagai pemenang. Klinik Silat Seni dijalankan bagi sesiapa yang ingin mempelajari asas seni silat di tengah-tengah padang mini stadium tersebut.
Comments
Post a Comment